nak jimat apa lagi versi tani
seman pening. pening sangat kepalanya. tengkuknya pula berdenyut-denyut. sakit bukan kepalang. sesekali meneleng-neleng supaya lega sikit tengkuknya. sesekali memicit-micit dahinya. sesekali juga meramas-ramas pangkal rambutnya.
sakit ini bukan hari ini tetapi dari semalam lagi. seman geleng-geleng. seman sepertinya sesal dan kesal. tapi untuk apa. bubur tak boleh jadi nasi semula. seman teringat anaknya yang 8 orang sudah pun ke sekolah. seman teringat petak bendangnya. seman teringat bini yang suka bergelang tebal. seman teringat kolam keli yang diracun orang bulan lepas. seman buntu tambah-tambah masuk bulan baru ini. semuanya pakai duit.
seman geleng-geleng. belanja anaknya ke sekolah sudah naik. pak hashim sudah 2 – 3 kali sebut perkara yang sama, tambang akan naik. seman semakin semak. semak hati seman. seman tak terkejar mahu hantar anak-anaknya ke sekolah. lagi pun dia tak punyai kereta. yang ada cuma hondua 70cc. sebenarnya bukannya susah cuma seman manusia yang terlalu berdisplin. pagi-pagi buta seman akan terpacak di petak bentangnya. seman tak ada masa. ramai tahu seman manusia yang rajin.
seman geleng-geleng hampir macam terteleng-teleng. tangki motornya perlu diisi. seminggu mahu 5 ringgit, itu dulu. kelmarin dulu sudah jadi lain. angka ringgit tambah naik. seman semput. semput seman. bahan-bahan tani mahu diangkut dengan motornya, hari-hari. kadang-kadang ke pekan pula beli keperluan. semua pakai duit walaupun duduk di ceruk kampung.
seman geleng-geleng ligat-ligat. seman teringat kata wak. wak kata kita kena jimat-jimat. sekarang barang makin mahal dan akan terus jadi mahal. sebab petrol sudah naik harga. pandai sungguh wak bersyarah. tak berkelip mata seman dengar wak bersyarah. wak tak ada masalah. bini, tak ada. anak, tak ada. duduk sorang-sorang pencen peon dah cukup makan sebulan.
seman geleng-geleng sampai nampak macam bulat. seman pening sebab nak jimat apa lagi. beras, dia dah ada sendiri. ikan tangguk saja di pinggir kali. sayur belakang rumah merimbun boleh dicari. yang tak ada ialah sabun mandi, sabun rambut, sabun body. Seman fikir-fikir nak kembali pakai sabun cap kapak, raja segala sabun, rambut boleh, body boleh, baju pun boleh. tapi seman teragak-agak, ada lagi tak di kedai si meon macam dulu-dulu. seman fikir apa lagi boleh dijimat. kerana sebulan dia cuma boleh dapat purata 400 ringgit saja dan belanja isi rumah nak diuruskan juga.
seman geleng-geleng dan tiba-tiba teringat gelang tebal bininya si wardini…..


