kopitiam
petang itu yang telah hampir maghrib aku biarkan berlalu. tekak ini terasa ingin sangat meneguk kopi yang khabarnya begitu sedap di kedai-kedai yang berimejkan tradisi cina. sebaik senja berlalu, kami pun keluar. dan, kami pun menjumpai kedai kopi yang berimej cina itu yang letaknya di dalam pasaraya berjenama yahudi. kopi putih yang kami pesan sedap sekali seperti kopi di pekan rawang pada 2 dekad lalu. kami pun pesan pula roti bakarnya, emmm adakah sesedap kopitiam di pekan rawang itu? kami pun menunggu. seminit. dua minit. 3 minit. sehinggalah 7 minit. roti bakar belum dibakar agaknya. pelayan perempuan melayu yang rautnya seperti cina itu aku kerling-kerlingi. dia pun mengambil nota. berbisik pula pada temannya. temannya itu, menapak-napak ke meja pasangan cina dan anaknya, senonongnya piring roti bakar dibawa kepada kami. aku kerling-kerling roti bakar itu. tak sentuh. aku pasti sudah seliter air liur pasangan tadi tersebar di atas roti itu. dan mereka masih bersembang-sembang dengan derasnya. kalau kau jadi aku, apakah kau mahu menjamah roti itu???
-kedai pakcik jony, kajang-26oktober2007-
mamai
aku rupanya hampir tersasul. aku ingat aku benar-benar belum pulang walaupun sebenarnya telah pun pulang. mana tidak, anak-anak melayu yang aku lihat berbeza dari dulu. waktu aku merayau-rayau di sekitar pekan kecil kajang ini jelas ia memperwakilkan nilai masyarakat yang makin berubah. anak melayu perempuan yang dikatakan islam itu bertambah ramai menjadi semakin anggun mempamerkan ikal-ikal rambut mereka yang tidak semenggah itu. anak lelaki pula semakin mesra dengan logam-logam di wajah mereka. pasangan pengkid-perempuan dua, tiga pasang berjalan seiringan dengan mesra dan liuk lentuk, yah! masyarakat lesbian bertambah maju. pasangan lelaki lembut pun tak kurang lelehnya. dan aku terpaksa menimbang-nimbang untuk terus berzikir dan bermunajat kepada TUHAN seru sekelian alam agar menyelamatkan aku dan keturunanku, semoga kami berterusan selamat di alam dunia, alam barzah dan alam akhirat nanti.
rasul itu adalah namanya
itu rasul, itu namanya, jangan kau salah faham. dia bukan menyebar agama dan bukan pula mengamal ajaran sesat, jangan kau salah faham dengan namanya, jangan pula kau mengata apa-apa tentang namanya itu. rasul ini aku kenali sejak lama dulu. lama. memang lama. tubuhnya rendah tapi tegap dan kemas. perwatakannya dan pergerakannya rapi dan kumisnya menambah seri. suaranya bagai sarjan di lapang kawat, kuat dan lantang. rasul adalah lelaki hebat, tabah dan tahan diuji. barangkali kerana dia itu guru silat. barangkali latihan kehidupannya dulu menyebabkan dia begitu. sebagai guru silat, dia mempunyai ramai anak murid. ramai sekali, bergenerasi. aku kagum dengan daya tahannya dan amat konsisten. lelaki yang bernama rasul ini boleh aku anggap pejuang unggul mempertahankan budaya datuk-neneknya. dan aku sendiri bagaimana pula? longlai di kaki yahudi barangkali!
bagai pesta
hari itu di tempat miyanari, juga tempat miyamoto, juga tempat inoue amat riuh rendah. gelak ketawa yang menjadi-jadi. semua orang termasuk perempuan-perempuan yang berleher jinjang dan sentot terbahak-bahak. semua hepi. aku pun hepi. hari itu, bagai satu temasya buat julung-julung kalinya. kami bergurau dan usik mengusik tapi tidak bersentuhan. miyanari merakamkan peristiwa melalui kamera kecilnya itu. pak ya pun. pak nurwan pun. cahaya-cahaya berlimpahan dari kamera-kamera mereka itu. hari itu babak peristiwa dirakam kerana aku dan pak ya akan berpergian. mereka dan kami akan sama-sama merasa kehilangan. hilang teman. hilang sahabat. hilang kawan. kerana itulah, rakaman-rakaman dilakukan dan gurau bergurauan dilaksana supaya bila kami kehilangan nanti, kami akan pasti kerinduan. pastinya untuk bertemu kembali terlalu sukar tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil. terima kasih semua. terima kasih atas persahabatan ini.
agustus 2007
tiba
akhirnya tiba juga ke sini setelah bertahun diperantauan. sambil memikul segala kenangan untuk dijadikan sempadan hidup. syukur kerana tidak sasau dengan keindahan. tasbih-tasbih dilontar menjadi pendinding. tahmid diucap menjadi peneman. takbir menjadi penolak ranjau-ranjau itu.


