~~KiPaS NaNdOnG~~

bukan kipas menghapus kepanasan

papak dah tiada

hari ini merupakan hari kejutan. anak sulung papak menelefon awal-awal pagi lagi. papak telah tiada. papak telah pergi menghadap Rabbul Jalil. Hari ini, pagi ini, sejak jam 1 pagi papak sudah menunjukkan tanda-tanda nazak. Hari ini, pagi ini pada kira-kira jam 4 pagi tadi Izroel datang menjemput. aku terkelu. aku terkedu. gamam dan gumam. tanpa sedar air mata menitis. sejantan-jantan aku, tumpah juga air mata. aku merasai kehilangannya. hilang seorang sahabat yang jauh lebih tua dari aku.

patutlah. patutlah. patutlah papak menelefon tempoh hari, perkara yang tidak pernah dilakukannya. seolah-olah memberi amaran bahawa dia akan pergi. pergi buat selama-lamanya. memang arwah benar-benar buang tebiat.

fikiran aku lantas berputar ke belakang. mengingatkan papak sebagai sahabat lama. teringat di waktu kecilnya aku, papak akan datang ke rumah membawa biskut tawar di waktu-waktu aku baru kebah dari demam. teringat di waktu-waktu kecil aku, papak selalu membawa ke rumah buah-buah dari hutan yang tak terhabis dimakan. papak sering mengajar tentang ilmu-ilmu buah-buahan, cara memetik, cara meyimpan, cara memilih dan cara mengupas. papak sering mengajar ilmu-ilmu kehidupan dunia, ilmu-ilmu mengenal kawan dan mengenal lawan, mengenal penipu and mengenal manikam. papak sememangnya sahabat tulen.

fikiran aku lantas berputar ke belakang, mengingatkan papak sebagai sahabat lama. teringat lagi aku yang sering bertinju dengannya. teringat lagi aku yang selalu bermain dam haji dan korum dengannya. sudah tentu papaklah juara dan kemudian papak berlakun supaya aku selalu menang. papak sangat menyayangi aku kerana aku satu-satunya kanak yang tidak menikus bila papak menyergah.

fikiran aku lantas berputar ke belakang, mengingatkan papak sebagai sahabat lama. teringat lagi aku apabila tidak pulang ke kampung untuk menyambut aidil-fitr, papak akan datang ke rumah membawa pakaian-pakaian baru untuk aku. papak akan datang membawa kasut dan sandal yang menjadi idaman aku. papak melayan aku seperti anaknya sendiri.

fikiran aku lantas berputar ke belakang, mengingatkan papak sebagai sahabat lama. teringat papak yang sering menjadi seorang motivator merangkap kaunselor supaya aku terus maju dalam pelajaran. papak melatih-tubikan aku dengan kali-kali dan membaca. sebab papak mahu aku berjaya dalam hidup dan jangan menjalani hidup sepertinya dulu. papak sering menghadiahkan aku yang macam-macam bila mendapat perkhabaran yang gembira-gembira dari peperiksaan-peperiksaan yang ditetapkan kerajaan.

fikiran aku lantas berputar ke belakang, mengingatkan papak sebagai sahabat lama. teringat papak yang aku tinggalkan setelah aku sendiri meningkat remaja dan dewasa. papak akan selalu menghubungi aku dan menjemput ke rumahnya untuk makan makanan yang hebat-hebat dan tidur di tilam yang empuk-empuk. isteri papak dan anak mereka seperti telah menjadi sebahagian dari kehidupan aku sendiri

fikiran aku pun kembali ke asal waktu ini. dan aku mulai sedari papak memerlukan bekalan-bekalan alam barzah dan hadiah-hadiah akhirat. nanti aku kirim kepada mu papak. untuk seorang sahabat lama dan sejati. Al-Fatihah.

“daripada KAU kami datang, kepada KAU kami kembali”

20 Jun 2007 - DIkirim oleh Gelembai | papak | | 4 komen

4 komen »

  1. Kepada Allah jua kita kembali. Bagaimana perkhabaran sahabatku ini di sana ya?

    Comment oleh sf | 22 Jun 2007 | Balas

  2. aku baik-baik saja. aku mahu pulang menziarah pusara papak.

    Comment oleh gelembai | 22 Jun 2007 | Balas

  3. oit

    Comment oleh naga | 22 Jun 2007 | Balas

  4. oit3x…oita

    Comment oleh gelembai | 22 Jun 2007 | Balas


Tinggalkan komen