~~KiPaS NaNdOnG~~

bukan kipas menghapus kepanasan

papak dah tiada

hari ini merupakan hari kejutan. anak sulung papak menelefon awal-awal pagi lagi. papak telah tiada. papak telah pergi menghadap Rabbul Jalil. Hari ini, pagi ini, sejak jam 1 pagi papak sudah menunjukkan tanda-tanda nazak. Hari ini, pagi ini pada kira-kira jam 4 pagi tadi Izroel datang menjemput. aku terkelu. aku terkedu. gamam dan gumam. tanpa sedar air mata menitis. sejantan-jantan aku, tumpah juga air mata. aku merasai kehilangannya. hilang seorang sahabat yang jauh lebih tua dari aku.

patutlah. patutlah. patutlah papak menelefon tempoh hari, perkara yang tidak pernah dilakukannya. seolah-olah memberi amaran bahawa dia akan pergi. pergi buat selama-lamanya. memang arwah benar-benar buang tebiat.

fikiran aku lantas berputar ke belakang. mengingatkan papak sebagai sahabat lama. teringat di waktu kecilnya aku, papak akan datang ke rumah membawa biskut tawar di waktu-waktu aku baru kebah dari demam. teringat di waktu-waktu kecil aku, papak selalu membawa ke rumah buah-buah dari hutan yang tak terhabis dimakan. papak sering mengajar tentang ilmu-ilmu buah-buahan, cara memetik, cara meyimpan, cara memilih dan cara mengupas. papak sering mengajar ilmu-ilmu kehidupan dunia, ilmu-ilmu mengenal kawan dan mengenal lawan, mengenal penipu and mengenal manikam. papak sememangnya sahabat tulen.

fikiran aku lantas berputar ke belakang, mengingatkan papak sebagai sahabat lama. teringat lagi aku yang sering bertinju dengannya. teringat lagi aku yang selalu bermain dam haji dan korum dengannya. sudah tentu papaklah juara dan kemudian papak berlakun supaya aku selalu menang. papak sangat menyayangi aku kerana aku satu-satunya kanak yang tidak menikus bila papak menyergah.

fikiran aku lantas berputar ke belakang, mengingatkan papak sebagai sahabat lama. teringat lagi aku apabila tidak pulang ke kampung untuk menyambut aidil-fitr, papak akan datang ke rumah membawa pakaian-pakaian baru untuk aku. papak akan datang membawa kasut dan sandal yang menjadi idaman aku. papak melayan aku seperti anaknya sendiri.

fikiran aku lantas berputar ke belakang, mengingatkan papak sebagai sahabat lama. teringat papak yang sering menjadi seorang motivator merangkap kaunselor supaya aku terus maju dalam pelajaran. papak melatih-tubikan aku dengan kali-kali dan membaca. sebab papak mahu aku berjaya dalam hidup dan jangan menjalani hidup sepertinya dulu. papak sering menghadiahkan aku yang macam-macam bila mendapat perkhabaran yang gembira-gembira dari peperiksaan-peperiksaan yang ditetapkan kerajaan.

fikiran aku lantas berputar ke belakang, mengingatkan papak sebagai sahabat lama. teringat papak yang aku tinggalkan setelah aku sendiri meningkat remaja dan dewasa. papak akan selalu menghubungi aku dan menjemput ke rumahnya untuk makan makanan yang hebat-hebat dan tidur di tilam yang empuk-empuk. isteri papak dan anak mereka seperti telah menjadi sebahagian dari kehidupan aku sendiri

fikiran aku pun kembali ke asal waktu ini. dan aku mulai sedari papak memerlukan bekalan-bekalan alam barzah dan hadiah-hadiah akhirat. nanti aku kirim kepada mu papak. untuk seorang sahabat lama dan sejati. Al-Fatihah.

“daripada KAU kami datang, kepada KAU kami kembali”

20 Jun 2007 DIkirim oleh Gelembai | papak | | 4 komen

Sin keempat

malam ketiga, masing-masing sudah keletihan. malam itu juga agak tenang tapi semua masih berawas-awas. suasana di tingkat atas tidak seperti malam-malam sebelumnya. malam itu keadaan menjadi terlalu suram. malam itu juga, bilik pertempuran kelihatan seperti ditanda dengan tanda-tanda ghaib. seolah-olah ada makhluk yang cuba memasung bilik itu. kelihatannya amat jelas dengan mata kasar. sah. bilik itu dijadikan kawasan panas. ahli-ahli tempur pun berkumpul dan ramai yang telah siap sedia. mereka mahu bertempur seperti malam-malam sebelumnya tapi sayang musuh tidak pula datang. masing-masing seperti hampa.

tiba-tiba, kedengaran riuh rendah dari B31 pada jam 9.40 malam. gawat. budak kerasukan. bercakap semborono dan tidak ketentuan dengan bahasa yang amat asing. sam mengajak aku ke biliknya, B24, untuk mengambil sesuatu, barangkali dia pun sudah ketakutan. kemudian aku menurutnya ke bilik yang sedang kegawatan itu. sebagai pengemudi pasukan kecemasan, aku masuk untuk mengurangkan ketegangan, membuat beberapa tindakan susulan. memastikan mangsa mendapat udara bersih yang mencukupi. setelah itu, pasukan kedua memulakan tindakan dengan mentera-mentera yang tidak pernah aku dengar. budak kecil itu, pelajar tingkatan satu, meraung-raung dengan suara yang garau tetapi rentapan-rentapannya yang kuat berjaya dikekang oleh pasukan kedua. pasukan ketiga membuat kawalan di luar bilik. amat berhati-hati. keadaan reda pada jam 10.50 malam dan anggota pasukan berjaga bersilih ganti pada malam itu sehingga ke pagi.

20 Jun 2007 DIkirim oleh Gelembai | x-files mengusik | | No Comments Yet