Setahun yang lalu kampung ini dilanda tsunami
dulu, semasa kecil kalau sesekali pulang ke tanah tumpah darah dalam selang 3 atau 4 musim padiĀ pastinya rumah tuk wan menjadi tempat menumpang tidur. mana lagi hendak pergi kalau tidak di situ. di situ, tanah tumpah jaraknya kurang 100 meter dari gigi air sungai kuala muda. dulu, kalau mahu ke situ, bas hanya boleh masuk setakat kepala jalan. selebihnya adalah lopak-lopak air, pasir gebu dan lumpur sungai sepanjang 500 meter. tapak dan sekeliling 20 meter rumah tok wan pun adalah lumpur. setakat alas di kaki lebih baik dijinjing sajalah. melekat dan melekit selut di kaki dan kalau tak biasa boleh rimas. tok wan sedar orang susah nak datang ke rumah dia kalau lecah-lecah tidak dihiraukan. jadi, tok wan anak beranak mengangkut pasir dari tebing sungai. sekali sekala kulit kepah dituang sama di sekeliling rumah. bertahun-tahun proses ini berlaku dan akhirnya tanah jadi kejap dan kenderaan pun sudah boleh diletakkan di situ. di tebing, pasirnya amat halus, kalau tersepak dan berterbangan di kepala dan tidak segera dibasuh alamatnya berkudislah. tapi yang paling seronok tentulah bermain-main di sini, selain bermain pasir bolehlah juga mencungkil-cungkil lubang ketam pasir dan ketam batu. malah setiap pagi dan petang kami akan mandi air sungai di situ. di belakang rumah tok wan banyak pokok nipah dan kalau teringin nak makan buah nipah, tok akan masuk hutan itu untuk cucunya. buah nipah yang lemak dan manis amat nikmat dimakan di waktu panas merelau. kadang-kadang nampak juga orang masuk ke hutan nipah mencari ketam batu sebagai jualan ke cina-cina di pekan dan tak kurang mat ganja mencari pot di situ. ular-ular bisa dari hutan itu, tak usah cakaplah memang banyak. banyak kali juga rumah tok wan dimasuki ular-ular ini, yang paling popular ular ketam tebu. banyak sungguh, tambah-tambah kalau musim tengkujuh, kononnya ular-ular dari hulu sungai hanyut berselirat. adakala kami dihiburkan dengan kera-kera yang bergayutan di atas pokok kayu yang amat besar dan tinggi jauh di dalam hutan itu. jerit pekik mendapat perhatian kami dan asyik sungguh kami menontonnya sampailah matahari berbenam. zaman itu, perkara-perkara seperti itu bukan kelaziman maka ia menjadi seperti suatu yang menyeronokkan. lagi pun TV tak ada, yang ada hanya radio transistor yang menggunakan bateri kuning cap badak sumbu, itu pun kalau ada duit. di sebelah hutan nipah ada padang yang penuh dengan lalang, kalau mengidam burung ayam-ayam bolehlah melastik atau tahan jebak di situ. pak teh punya kederat dapatlah kami makan ayam-ayam goreng yang dimakan berdikit-dikit takut cepat habis maklumlah bukannya banyak sangat. kalau nak menonton TV kenalah ke kedai runcit dalam kampung pada waktu malam, tambah-tambah kalau malam jumaat, bolehlah menonton filem melayu. TV masa itu, hitam putih dan hanya ada 2 saluran yang semua dari RTM, itu saja yang ada pada masa itu. adakala kami boleh menonton filem layar besar dari jabatan penerangan yang sering berserta dengan kempen yang macam-macam.??Paling seronok di waktu pagi dapat kami menyorok dengan pulut manis atau nasi putih panas dengan gulai ikan tenggiri yang boleh dibeli dari kedai, air tentulah kopi, mana ada milo. Kalau bertandang ke rumah tetangga, air teh cap bunga, panas-panas, akan dihidang dalam gelas kecil, hendak dipegang kenalah tunggu sejuk dulu, sementara itu, orang tua akan berborak selagi boleh dan kita akan terlelap-lelap.
1974
http://gelembai.fotopages.com/?entry=861981&back=http://gelembai.fotopages.com/?page=0#CommentsTop


